Selepas berminggu-minggu fikirannya berkecamuk dengan isu kebebasan
bertukar agama bagi orang Melayu Islam yang tercetus akibat
keterlanjurannya sendiri, akhirnya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah
mengambil keputusan nekad dengan memfailkan saman terhadap Utusan
Malaysia.
Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai menyaman Utusan berhubung isu
orang Melayu bebas bertukar agama ini pada pandangan ramai sebenarnya
agak pelik dan menimbulkan lebih banyak persoalan yang menuntut jawapan
konkrit.
Malah beberapa pemimpin PAS dan PKR yang berlatar belakang agama juga
sedikit kurang senang dengan tindakan tersebut yang pada perkiraan
mereka ia seumpama satu silap mata untuk mengabui mata rakyat. Dengan
kata lainnya macam nak menipu rakyat dan mengalih isu sebenar.
Saman tersebut yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui
firma guaman milik peguam pro PAS, Tetuan Mohamed Hanipa &
Associates pada 23 November 2012, anak perempuan sulung kepada Ketua
Umum PKR itu antaranya menuntut Utusan memohon maaf dalam tempoh 24 jam.
Lain-lain tuntutan termasuklah meminta defendan menarik balik tuduhan
fitnah, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau tanpa
menyatakan nilai tuntutan yang dikehendaki.
Jika Nurul Izzah merasakan dengan kaedah saman menyaman bakal
mengambus isu ini dan menyelamatkannya dari terus dibayangi kesilapan
dan keterlanjuran mulutnya sendiri, ternyata andaian itu silap sama
sekali.
Persoalan besar yang sedang bermain di minda khalayak tika ini ialah
kenapa hanya Utusan yang disaman? Mengapa portal berita yang bias kepada
PR iaitu Malaysiakini terkecuali dari tindakan?
Sedangkan media pertama yang menerbitkan berita berkenaan kenyataan
Nurul Izzah di gereja bersabit isu kebebasan beragama untuk orang Melayu
ialah portal Malaysiakini yang pro pembangkang.
Malaysiakini, dalam artikelnya bertarikh 3 November 2012 di bawah
tajuk “Nurul: There should be no compulsion in choosing faith” menyebut
bahawa “rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama dan perkara
itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu”.
Perenggan pertama artikel Malaysiakini itu jelas bermaksud bahawa
orang Melayu juga wajar diberi hak untuk bebas beragama, dengan kata
lainnya orang Melayu seharusnya boleh keluar daripada Islam ataupun
dibenarkan murtad.
Dalam konteks negara kita Malaysia, seseorang Melayu itu ditakrifkan
wajib beragama Islam. Bila disebut orang Melayu automatik agamanya
Islam, itu hakikat dan itu realiti. Melayu dan Islam berpisah tiada,
ibarat aur dengan tebing.
Jika Utusan disaman atas tuduhan memfitnah, bermakna bila
Malaysiakini dikecualikan dari tindakan maksudnya berita yang disiarkan
oleh portal itu adalah benar, tidak begitu?
Sekiranya isu kebebasan agama yang sedang memeningkan kepala Nurul
Izzah tika ini hanyalah fitnah, langkah yang betul ialah menyaman
kedua-duanya dan bukannya bertindak double standard.
Kenapa mesti ada pendakwaan terpilih dan perbezaan tindakan, bukankah
ini mendedahkan kepada umum betapa kebebasan bersuara ala PR yang
sering dilaungkan sebenarnya hanyalah omong kosong sahaja.
Terang lagi bersuluh, nawaitu sebenar pemimpin PKR itu dalam samannya
terhadap Utusan hakikatnya hanyalah untuk menutup isu disamping cuba
menipu rakyat. Ini sebetulnya satu cubaan untuk mematikan isu dan
memutar belitkan kisah sebenar.
No comments:
Post a Comment